Perihal Pulau Pinang

Ajukan pertanyaan kepada sesiapa sahaja yang telah mendengar tentang Pulau Pinang dan seringkali mereka akan menyatakan bahawa nama negeri ini sinonim dengan makanan. Ada di kalangan mereka juga yang mungkin mengimbau kenangan kunjungan mereka ke negeri di wilayah utara ini hanya untuk menjamu selera. Namun, sejak kebelakangan ini, pelbagai tarikan baru telah dibangunkan di sekitar keseluruhan negeri ini yang menawarkan pengalaman yang berbagai buat setiap pengunjung.

Sebagai sebuah destinasi pelancongan yang popular, Pulau Pinang menawarkan sesuatu untuk semua. Inap di tengah-tengah bandar bersejarah George Town atau tempah bilik di salah sebuah hotel mewah di Batu Ferringhi; terokai jejak warisan atau keluar menjejaki seni-seni jalanan; bersantai di tepi pantai dan lupakan masalah anda atau membeli-belah di pusat membeli-belah utama kami. Selain itu, anda kini boleh memenuhi keingintahuan saintifik anda di Tech Dome yang baru dibuka, berjalan-jalan melalui rizab alam semula jadi di The Habitat di Bukit Bendera, dan saksikan dunia serangga secara dekat di Entopia. Kesemua itu hanyalah sebahagian daripada tarikan yang ada di sini.

Rombongan Beca Roda Tiga Pulau Pinang

Rasai dan alami keunikan syurga makanan Malaysia apabila rombongan Pulau Pinang singgah di lokasi anda! Bonceng beca roda tiga tradisional dan kelilingi mini “George Town” serta nikmati juadah dari Utara. Penang Trishaw Entourage (Rombongan Beca Roda Tiga Pulau Pinang) akan membawa pengalaman penuh dari negeri Pulau Pinang lengkap dengan replika jalan-jalan di Pulau Pinang berserta empat biji beca roda tiga sebenar, juadah-juadah tempatan, pelbagai jenis permainan dan hadiah termasuk karikatur percuma!

Perihal Beca Roda Tiga Pulau Pinang

Salah satu pandangan yang sering dilihat semasa melawat George Town adalah beca roda tiga yang dikayuh dan dikenali sebagai beca. Beribu buah beca di Pulau Pinang merupakan sebahagian besar sistem pengangkutan di Pulau Pinang sebelum kemunculan kereta dan bas pada tahun 1950-an. Walau bagaimanapun, bilangannya telah berkurangan kepada sekitar 200 buah dan penggunaannya kini adalah terbatas di kawasan dalam bandar sahaja.

Membonceng beca roda tiga adalah suatu pengalaman unik yang tiada tandingannya dan adalah sebahagian warisan hidup bandar ini. Pengayuh beca biasanya juga akan memainkan peranan sebagai pemandu pelancong bila mana mereka akan menunjuk dan berkongsi maklumat mengenai pelbagai tempat menarik sepanjang perjalanan. Ini juga merupakan sebuah peluang besar untuk mengambil gambar atau merakam video sepanjang perjalanan dalam beca yang terbuka di bahagian hadapan ini oleh kerana ia bergerak pada kadar kelajuan yang santai.

Bilangan penarik beca akan kian berkurangan dengan peningkatan taraf hidup. Kebanyakan mereka telah lewat usianya dan generasi muda kini tiada niat untuk mengambilalih. Sekiranya anda ingin merasai pengalaman membonceng salah sebuah beca roda tiga ini, kunjungilah pameran Penang Trishaw Entourage apabila ia berada di bandar anda atau lebih baik lagi, kunjungilah Pulau Pinang dalam masa terdekat.